Monday, November 26, 2012

Hidup remaja makin tersasar ajaran agama

Dewasa ini kita sering melihat sesetengah masyarakat yang terpengaruh gaya hidup asing yang bertentangan ajaran Islam. Perkara paling jelas dapat dilihat adalah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa menjadikan neraca syariat sebagai kayu ukur.

Budaya kebebasan pergaulan yang tiada sempadan ini bukanlah daripada ajaran Islam tetapi pengaruh luar yang dibawa ke dalam dunia masyarakat Islam. Maka tidak hairanlah ada kalangan anak muda terjebak pelbagai dosa kerana melupakan batasan syarak yang ditetapkan Islam.

Firman Allah SWT: "Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai agama (cara hidup) maka tidak akan diterima daripadanya dan pada hari akhirat dia termasuk di kalangan orang yang rugi." (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Gambar 1: Pergaulan bebas remaja masa kini boleh menyumbang kepada kemaksiatan

Gambar 2: Kehidupan yang sosial membawa kepada kemungkaran

Gambar 3: Remaja kini mudah terjebak dengan penzinaan


Kebimbangan ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabda: "Sesungguhnya kamu akan mengikut gaya hidup golongan sebelum kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka masuk ke lubang biawak nescaya kamu akan mengikutinya." (Hadis muttafaqun `alaih)

Budaya luar biasa jadi ikutan

Begitulah juga serangan budaya yang menyerap kehidupan masyarakat kita terutama pemuda, pemudi dan remaja. Kita terikut-ikut budaya `luar biasa' yang berbeza daripada budaya dan adat difahami.

Gaya yang dipilih biarlah bersesuaian budaya kita dan tidak bertentangan dengan syarak. Sudah tentu kita tahu dan pernah belajar bahawa mendedahkan aurat bukanlah daripada cara hidup Islam namun kita dapati masih ramai yang belum faham tuntutan itu.

Di samping itu, pakaian yang terdapat padanya ciri-ciri budaya orang bukan Islam perlu juga dielakkan seperti pakaian terdapat gambar salib, tengkorak, gambar tidak menutup aurat dan juga apa saja yang jelas bertentangan syariat Islam.

Sesungguhnya dalam pelaksanaan ibadah, Rasulullah SAW melarang kita mengikut ibadah orang bukan Islam. Dalam ibadah solat, kita dilarang mengikut tatacara sembahyang orang Yahudi mahupun Nasrani.

Antaranya kita dilarang menjadikan kubur sebagai tempat ibadat seperti dilakukan golongan Yahudi dan Nasrani.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya laknat Allah ke atas orang Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadat)." (Hadis muttafaqun `alaih)

Rasulullah SAW juga melarang meletakkan pakaian di atas sebelah bahu dan tidak pula di sebelah bahu yang lain ketika solat. Ibnu Taimiyyah berkata, larangan itu disebabkan ia mengikut tatacara solat golongan Yahudi.

Seperti golongan ahlul kitab

Begitulah juga dalam ibadah puasa, kita disunatkan bersahur sebelum menunaikan ibadah puasa. Sesungguhnya dengan kita bersahur maka terdapat padanya keberkatan. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "Bersahurlah sesungguhnya dengan bersahur itu adanya keberkatan." (Hadis muttafaq 'alaih)

Perlu kita ketahui bahawa puasa yang tidak ada padanya ibadah sahur dengan sengaja seakan-akan puasa golongan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani).

Berkenaan hal ini Nabi SAW bersabda: "Perbezaan antara puasa kita dan juga puasa Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah dengan bersahur." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berkenaan hari Asyura, umat Islam disunatkan berpuasa pada 10 Muharam. Bagi golongan Yahudi, hari Asyura adalah hari perayaan mulia dan mereka juga berpuasa pada hari itu.

Diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy'ari, katanya: "Sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan mereka menyambutnya sebagai suatu perayaan. Maka Nabi bersabda: "Maka berpuasalah kamu semua (pada hari Asyura)."   (Sahih Muslim)

Namun Nabi SAW menegah sahabat berpuasa hanya pada hari Asyura tetapi perlulah ditambah sehari bersama hari Asyura sama ada pada hari ke sembilan dikenali sebagai hari Tasu'a atau hari ke-11 Muharam.

Puasa dua hari

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ketika mana Nabi berpuasa pada hari Asyura dan mengarahkan sahabat turut sama berpuasa, maka sahabat memberitahu Nabi hari itu adalah hari kemuliaan bagi mereka yang beragama Yahudi dan Nasrani. Maka Nabi SAW bersabda: "Jikalau begitu pada tahun hadapan kita akan turut berpuasa pada hari kesembilan (bersama-sama hari Asyura). Namun Nabi wafat dan tidak sempat berpuasa pada tahun itu." (Riwayat Muslim).

Ibnu Qayyim menjelaskan, hadis ini menunjukkan suruhan supaya puasa Asyura digabungkan dengan sehari sebelum atau sehari selepasnya untuk menunjukkan perbezaan antara agama Islam dan agama Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani).

Kesimpulannya, Nabi SAW melarang umat Islam terikut-ikut prinsip dan budaya masyarakat bukan Islam yang bertentangan dengan syariat Islam.

Bagaimanapun, jika sesuatu perkara itu tidak bertentangan dengan syariat dan memberi kemaslahatan kepada umat Islam maka perkara itu perlu diambil dan diterapkan sebagai nilai murni dalam kehidupan kita.

Gambar: Sumber dari Google dan Yahoo
Artikel: Sumber dari Berita Harian
Pengarang: Ustz. Muhammad Asyraf
Untuk perkongsian rakan-rakan blog HH.. Love you all

No comments:

Post a Comment