Monday, April 12, 2010

Hak Cipta tugasanku

Pelanggaran Harta Intelek (intellectual property)
Pelanggaran terhadap hakcipta berlaku apabila seseorang, tanpa persetujuan atau lesen tuan punya hakcipta itu, mengimport sesuatu artikel ke dalam Malaysia bagi maksud:
(a) Menjual, menyewakan atau dengan cara dagangan, menawarkan atau mendedahkan artikel itu untuk jualan atau sewaan;
(b) Mengedar artikel itu;
1. bagi maksud dagangan; atau
2. bagi apa-apa maksud lain ke takat yang akan memudaratkan tuan punya hakcipta itu; atau
(c) Dengan cara dagangan, mempamer artikel itu kepada awam.

Penguatkuasaan Harta Intelek (Enforcement of intellectual property)

Pemunya hakcipta mempunyai dua cara untuk penguatkuasaan hakciptanya. Ia boleh mendapatkan remedi-remedi sivil di mahkamah ataupun dengan membuat laporan polis bagi membuat tindakan jenayah. Jikalau ia membuat tindakan sivil maka pemunya hakcipta harus menanggung semua perbelanjaan membawa kes itu mahkamah.

Remedi-remedi Sivil

Jikalau berlaku pelanggaran hakcipta, pemunya hakcipta mempunyai beberapa remedi sivil yang tersedia untuknya. Ini termasuklah gantirugi, injunksi dan akaun keuntungan.

a) Injunksi
- Terdapat 3 jenis injunksi yang boleh dipohon oleh pemunya hakcipta. Ini terdiri daripada yang berikut:
1. injunksi interlokutori
2. injunksi tetap.
3. Quia Timet.

b) Gantirugi bagi pelanggaran hakcipta
- Pihak plaintif juga boleh membuat permohonan mendapatkan pampasan dalam bentuk pembayaran gantirugi kepadanya dari pihak defendan.

c) Gantirugi tambahan
- Gantirugi tambahan juga boleh diberikan oleh mahkamah. Apabila relif yang berkesan tidak boleh diadakan untuk plaintif dengan apa-apa jalan lain, maka mahkamah dalam mentaksirkan gantirugi untuk pelanggaran itu, adalah berkuatkuasa untuk mengawad apa-apa gantirugi tambahan sebagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah dalam keadaan tersebut.

d) Akaun keuntungan
- Akaun keuntungan juga boleh dipohon oleh pihak plaintif dari pihak defendan. Di dalam mentaksirkan akaun keuntungan ini pihak mahkamah akan mengambil kira keuntungan yang mungkin diperolehi oleh pihak plaintif atas karyanya jika tidak berlaku pelanggaran hakcipta ini oleh pihak defendan.

e) Hantar serah
- Pihak plaintif juga memohon bagi hantar serah karya langgaran tersebut kepadanya untuk dimusnahkan. Tujuan nya di sini adalah supaya pihak defendan tidak akan cuba melupuskan barang-barang langgaran tersebut kepada orang lain. Akta Hakcipta 1987 juga membuat peruntukan bagi beberapa kesalahan-kesalahan jenayah bagi perlanggaran hakcipta di Malaysia.

Kesalahan-kesalahan
(a) Membuat untuk jualan atau sewa apa-apa salinan langgaran;
(b) Menjual, menyewakan atau secara dagangan, mendedahkan atau menawarkan untuk dijual atau disewakan apa-apa salinan langgaran;
(c) Mengedar salinan-salinan langgaran;
(d) Memiliki bagi apa-apa kegunaan selain daripada untuk kegunaan persendirian dan domestik, apa-apa salinan langgaran;
(e) Dengan cara dagangan mempamirkan pada awam apa-apa salinan langgaran;
(f) Mengimport ke dalam Malaysia, selain daripada kegunaan persendirian dan domestiknya, sesuatu salinan langgaran; atau
(g) Membuat atau ada dalam miliknya apa-apa perekaan yang digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi maksud membuat salinan langgaran.
Kesalahan memintasi Teknologi
(h) memintas atau menyebabkan dipintas apa-apa langkah teknologi yang berkesan;
(i) membuang atau mengubah apa-apa maklumat pengurusan hak elektronik tanpa kebenaran; atau
(j) mengedarkan, mengimport untuk pengedaran atau penyampaian kepada orang awam, tanpa kebenaran, karya atau salinan karya yang berkenaan dengannya maklumat pengurusan hak elektronik telah dibuang atau diubah tanpa kebenaran.

Penalti-penalti yang diperuntukan

Seseorang yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman-hukuman berikut:-
Dalam hal kesalahan (a) hingga (f), denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan bagi apa-apa kesalahan kali kemudian, denda tidak kurang dari RM4,000 dan tidak melebihi RM40,000 bagi setiap salinan langgaran untuk kesalahan kedua dan seterusnya. Hukuman penjara juga boleh dikenakan tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya iaitu denda dan hukuman penjara.
Dalam hal kesalahan (h) hingga (j), denda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan bagi apa-apa kesalahan kali kemudian, denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Harta Intelek dan hak moral

Prinsip ini menerangkan berkenaan hakcipta sebagai satu hak ke atas harta dan juga hakcipta sebagai satu hak moral perseorangan (droit moral) ke atas karyanya.
Jenis-jenis Hak Moral
(a) Hak "paternity".
- Hak ini adalah merupakan hak untuk menuntut penciptaan sesuatu karya.
(b) Hak "integrity".
- Ini adalah hak untuk mencegah perubahan atau apa-apa perbuatan yang mencacatkan sesuatu karya itu.
Di Malaysia, hak-hak moral seseorang pencipta itu adalah diberi perlindungan di bawah seksyen 25 Akta Hakcipta 1987.

Hak statutori

Hak moral yang diberikan di bawah peruntukan Akta Hakcipta adalah dikira sebagai hak statutori pencipta terhadap karyanya. Jadi apa-apa pelanggaran hakcipta adalah dikira sebagai pelanggaran terhadap kewajipan statutori.
Definasi ‘Pelaku”
“pelaku ertinya orang yang membuat persembahan secara langsung.

Persembahan Secara Langsung
a) Termasuklah:-
• persembahan karya drama, atau sebahagian daripada karya tersebut itu, termasuk sesuatu persembahan sedemikian yang dibuat dengan menggunakan boneka, atau persembahan karya drama yang dibuat secara spontan;
• persembahan karya muzik atau sebahagiandaripada karya itu, atau persembahan karya muzik yang dibuat secara spontan;
• pembacaan, pengucapan atau penyampaian karya sastera, atau sebahagian daripada karya itu, atau pembacaan, pengucapan atau penyampaian karya sastera yang dibuat secara spontan;
• persembahan tarian;
• persembahan lakonan sarkas atau lakonan anekaragam atau apa-apa tontonan atau pertunjukan seumpamanya; atau
• persembahan berhubungan dengan pengungkapan cerita rakyat,
yang disampaikan secara langsung oleh seorang atau lebih di Malaysia, sama ada di hadapan penonton atau selainnya; tetapi
b) tidak termasuk:-
• apa-apa pembacaan, pengucapan atau penyampaian apa-apa bahan berita atau maklumat;
• apa-apa persembahan secara langsung sesuatu aktiviti sukan; atau
• penyertaan dalam sesuatu persembahan secara langsung oleh penonton.

Kelayakan bagi perlindungan pelaku
Hak pelaku hendaklah wujud dalam tiap-tiap persembahan secara langsung yang pelakunya itu ialah:
a) warganegara atau pemastautin tetap Malaysia; atau
b) bukan warganegara atau pemastautin tetap Malaysia tetapi persembahannya-
• di adakan di Malaysia
• telah digabungkan dalam rakaman bunyi yang dilindungi di bawah Akta ini; atau
• belum lagi ditetapkan dalam rakaman bunyi tetapi termasuk dalam suatu siaran yang layak untuk dilindungi di bawah Akta ini

Jangkamasa Hak Pelaku
Perlindungan diberikan selama 50 tahun dari tarikh persembahan.