Monday, November 26, 2012

Implan koklea

Mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiga bayi dilahirkan dengan masalah kurang pendengaran daripada 1,000 kelahiran manakala seorang daripadanya serius.

Apa dibimbangkan, jika bayi itu tidak dibantu seawal mungkin, impaknya mungkin menggugat perkembangan dan kualiti hidup individu, pada masa depan.

Justeru, WHO menyarankan supaya setiap bayi yang baru lahir melalui proses pengesanan awal pendengaran bagi membolehkan mereka yang bermasalah diberikan bantuan seawal mungkin.

Perunding Kanan Otologi dan Neuro-otologi, Datuk Dr Lokman Saim, berkata jika dulu, anak kecil yang dilahirkan dengan masalah pendengaran akan membesar sebagai seorang Orang Kurang Upaya (OKU) , iaitu pekak dan bisu.

"Tapi kini, melalui teknologi dalam dunia perubatan, bayi yang dilahirkan pekak boleh dibantu," katanya.

Salah satu daripadanya adalah melalui kaedah implan koklea, alat bantuan pendengaran yang memberi rangsangan auditori kepada pesakit.

Dihasilkan dengan dua bahagian iaitu elektrod penerima dan magnet perangkai yang ditanam di belakang telinga untuk bahagian dalam manakala, bahagian luar bertindak sebagai pemproses pertuturan.

Pekak adalah satu daripada kecacatan kongenital yang sering terjadi pada bayi baru lahir.

Punca pekak, bisu

Dr Lokman berkata, ibu bapa juga perlu tahu, 95 peratus bayi lahir dengan masalah pendengaran dan ia berlaku disebabkan banyak faktor antaranya jangkitan virus seperti rubela, campak atau beguk dialami ibu ketika mengandung.

"Atau disebabkan pengambilan ubat bertoksik seperti anti barah dan ubat tibi juga komplikasiketikamelahirkan misalnya pra matang, berat kurang daripada 1.5 kilogram atau bayi lemas semasa kelahiran.

"Ada juga sebahagiannya mengalami masalah pendengaran disebabkan jangkitan kuman pada telinga selepas demam panas dan jaundis," katanya.

Kategori pekak

Pekak terbahagi kepada empat kategori iaitu ringan, sederhana, teruk dan pekak keseluruhan.

Empat kategori ini dipecahkan kepada dua kumpulan lain iaitu ringan dan sederhana - ada sisa pendengaran dan boleh dibantu menggunakan alat bantu dengar.

Sementara teruk dan pekak keseluruhan - boleh dipakaikan alat bantu dengar tapi tidak boleh mendengar seperti kanak-kanak normal.

Implan koklea

Mengikut Dr Lokman, prosedur koklea implan terbaru menggunakan alat yang lebih kecil dan nipis membabitkan pembedahan minor selama satu atau dua jam.

"Apabila elektrod dimasukkan sebagai ganti koklea, bahagian luar implan koklea berfungsi sebagai alat penerima bunyi akan dipasang dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

"Kemudian, pesakit akan dilatihuntukbertutur.Dalam tempoh itu, ada pesakit yang boleh kembali mendengar dan bertutur tapi ada juga     yang gagal mungkin kerana mereka sudah lama mengalami masalah pendengaran," katanya.

Kejayaan implan koklea kalangan bayi ditentukan oleh usia bayi itu sendiri. Justeru, kanak-kanak digalakkan menjalani implan koklea seawal mungkin, selewat-lewatnya dua tahun. Bagaimanapun, kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun masih boleh dibantu.

"Ada juga kanak-kanak berusia lima tahun ke atas menjalani kaedah implan koklea tapi disebabkan kadar pendengaran tidak memuaskan lantas mengganggu proses pertuturan mereka.

Buat rawatan awal

"Justeru, saya sarankan supaya kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaranmenjalani kaedah implan koklea seawal mungkin supaya mereka boleh bertutur dan masuk ke sekolah biasa, seperti kanak-kanak normal lain," katanya.

Jelasnya, di Malaysia, ramai ibu bapa yang tidak tahu cara mengendalikan kanak-kanak pekak menyebabkan ramai terpaksa meneruskan persekolahan di sekolah pekak dan bisu.

"Sayang, sedangkan masalah itu boleh diatasi jika dikesan dari awal," katanya.

Ibu bapa main peranan

Bagaimanapun, selain memasang implan koklea, peranan pakar audiologi yang mengesan tahap pendengaran dan pakar terapi pertuturan yang melatih pengguna implan koklea bertutur memainkan peranan penting.

"Ibu bapa juga perlu merangsang pendengaran anak menggunakan alat pendengaran untuk berkomunikasi.

"Agak mengecewakan kerana berkomunikasi dengan anak tidak menjadi budaya orang kita menyebabkan kadar `pemulihan' terencat. Selain itu, anak-anak ini juga perlu diajar menyebut perkataan dengan betul," katanya.

Jelasnya, ibu bapa yang  dedikasi melatih anak mendengar dan bertutur membolehkanprosesmendengar menjadi lebih pantas.

"Paling tidak, selepas setahun hingga setahun setengah mereka sudah boleh bertutur," katanya.

Kesan tahap pendengaran bayi

Semua hospital di negara ini disarankan menjalankan ujian pengesanan pendengaran oto acustic emission (OAE) sebagai prosedur wajib kepada bayi baru lahir.

Dr Lokman berkata, ujian pendengaran dijalankan ketika ini terlalu ringkas dan tidak menyeluruh menyebabkan ramai bayi dilahirkan pekak lambat menerima bantuan.

"Kita tidak mahu ada bayi bermasalah pendengaran terlepas pandang kerana jika tidak diberikan seawal mungkin, impaknya besar pada perkembangan individu.

"Justeru, masalah itu perlu dikesan seawal usia tiga bulan dan dalam masa enam bulan, mereka perlu diberikan bantuan alat bantu dengar," katanya.

Lihat perkembangan bayi

Tambah Dr Lokman, masalah pendengaran dialami bayi sukar dilihat dengan mata kasar.

"Bagaimanapun, ibu bapa boleh melihat reaksi bayi pada bunyi. Secara teorinya, bayi berusia kurang enam bulan akanterkejutmendengarbunyi kuat.

"Pada usia enam hingga lapan bulan iaitu apabila lehernya sudah kuat, bayi akan menoleh pada bunyi. Pada usia setahun pula, kebanyakan bayi sudah boleh mengagah, setahun setengah mula menutur perkataan mudah dan seterusnya bertutur dalam bentuk ayat pendek," katanya.

Perlu diberikan perhatian adalah bayi berusia setahun setengah ke atas yang masih tidak boleh bertutur.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak berlengah membawa bayi berjumpa pakar audiologi atau pakar telinga, hidung dan mulut (ENT) jika bayi tidak ada tindak balas terhadap bunyi," katanya.

INFO

Punca kecacatan pendengaran sejak lahir

- Jangkitan semasa kandungan seperti rubela dan sifilis.

- Pengambilan ubat tertentu seperti `gentamisin' yang selalu digunakan dalam rawatan bayi selepas lahir.

- Ibu mengalami darah tinggi yang berlebihan (preeklampsia) ketika melahirkan bayi.

- Bayi yang pramatang atau tidak cukup berat badan (kurang daripada 1.5 kg)

- Bayi yang dilahirkan lemas dan memerlukan alat pernafasan selepas lahir.

- Meningitis atau jangkitan kuman pada otak selepas lahir.

- Bayi yang mengalami kekuningan (jaundise) yang teruk sehingga tahap memerlukan pertukaran darah.

- Bayi dilahirkan dengan pembentukan muka yang abnormal seperti sumbing.

- Ada sejarah di dalam ahli keluarga yang mengalami masalah pendengaran seperti sindrom Waardenburg, Treacher Collins dan Alport Syndrome.

Sumber dari Berita Harian

No comments:

Post a Comment