Monday, November 26, 2012

Dunia perlu formula elak konflik

Perkembangan terbaru di Mesir menggambarkan betapa payahnya  sesebuah negara itu kembali kepada kedudukan selamat, harmoni dan selesa selepas  berlakunya konflik. Sama ada sesuatu konflik itu besar atau kecil, ia berupaya mengoyak keharmonian dan menggagalkan negara. Apa yang berlaku di Mesir boleh dianggap sebagai contoh terkini walaupun kita telah melihat pelbagai contoh lain dalam lipatan sejarah dunia.

Pengalaman Afrika Selatan, Zimbabwe, Cambodia, Rwanda dan Ireland Utara boleh dianggap contoh utama konflik di dunia. Begitu juga negara lain seperti Afghanistan dan Iraq. Kita juga tentu sedia maklum mengenai konflik di Gaza dan keganasan yang berpanjangan itu.


Gambar 1: Konflik di Mesir - Kredit kepada Yahoo

Gambar 2: Rusuhan yang berlaku di Mesir - Kredit kepada Yahoo


Penulis memilih perkara ini kerana berasakan dunia kini sudah dipenuhi konflik yang begitu banyak. Masalahnya begitu besar sekali di serata dunia. Jumlah pembunuhan dan kemusnahan ekonomi begitu besar. Kita hanya menyebut mengenai kemusnahan yang boleh diukur dan dikira, tidak termasuk kemusnahan yang tidak dapat diukur, seperti keruntuhan tamadun.

Sumbangan negara kepada masyarakat serantau, dunia

Sebagai sebahagian daripada masyarakat dunia, penulis percaya kepemimpinan negara kita sejak dulu hingga sekarang sangat memahami keadaan ini. Negara kita boleh berbangga dengan pencapaian negara setakat ini.

Contoh semasa, negara bukan saja berupaya mengelak daripada konflik dengan negara jiran,  tetapi juga menyumbang kepada masyarakat serantau dan dunia. Terbaru, sumbangan negara kepada masyarakat Bangsamoro di Filipina. Penulis yakin, negara juga boleh menyumbang banyak lagi bagi keamanan dunia.

Masyarakat dunia sudah sedar mengenai perkara ini, tetapi rata-rata kita masih belum dapat melihat mereka yang bersungguh-sungguh melaksanakannya. Kita masih belum menemui juara keamanan masyarakat dunia yang sebenar. Kita masih menunggu penciptaan formula keamanan sejagat.

Formula yang kita perlukan bagi keamanan sejagat bukan saja bertujuan memulihkan kesan atau akibat konflik. Walaupun formula ini penting, apa yang lebih penting ialah formula untuk menyekat konflik daripada berlaku. Dunia hendaklah mencipta dan mengamal formula untuk menyekat konflik daripada berlaku sebelum ia benar-benar berlaku.

Biar apa pun bentuknya, sama ada konflik dalaman atau yang membabitkan campur tangan pihak ketiga, kesannya lebih kurang sama saja. Kesan daripada Perang Dunia Kedua juga belum lagi hilang sepenuhnya. Perit kepada konflik peperangan masih lagi dirasai sebahagian masyarakat dan mangsa peperangan.

Walau apa pun punca konflik dalam sesebuah negara itu, kita dapat melihat kesukaran untuk negara terbabit bangun semula, membentuk identiti dan meneruskan kelangsungan negara serta persaingan di persada dunia.

Pelbagai aspek perlu diberi perhatian

Dalam membangunkan semula negara yang mengalami detik sukar dan konflik itu, pelbagai aspek perlu diberi perhatian, bukan sekadar memulihkan kuasa politik. Dalam keadaan tersebut, kuasa politik bukan satu-satunya faktor. Malah sekiranya kuasa politik itu dikembalikan sekalipun, keampuhannya belum tentu berupaya memulihkan keadaan konflik itu. Ini jelas kita lihat dalam perkembangan terbaru di Mesir.

Pada mulanya mungkin ramai yang menganggap lantikan tampuk pemerintahan baru dapat memulihkan keadaan dan seterusnya menjamin kestabilan. Namun, apabila dilihat kepada laporan media, keadaan di sana belum begitu memberi jaminan positif. Tanda-tanda ke arah keadaan yang stabil masih belum jelas.

Konflik runtuhkan tamadun dunia

Dalam membentuk dan membangun semula daripada konflik, aspek selain kuasa politik, termasuk keadilan sosial, keadilan ekonomi dan membina keyakinan dan kepercayaan mangsa konflik tidak kurang pentingnya. Kemusnahan akibat konflik bukan calang-calang; ia bukan sahaja memusnahkan manusia dan fizikal negara, tetapi konflik meruntuhkan tamadun itu sendiri. Sudah tentu proses pemulihan tersebut memerlukan perbelanjaan dan pengorbanan yang sama jumlahnya dengan kerugian akibat konflik.

Selepas  menyedari kesukaran  dialami itu, mencari formula bagi menyekat konflik begitu penting ketika ini. Sesungguhnya sudah begitu banyak pengajaran yang dapat kita lihat dalam sejarah dunia. Justeru, amat penting untuk kita menjauhi budaya berkonflik. Kita hendaklah mencari formula mengelak konflik dan seterusnya membina budaya keamanan.

* Penulis ialah ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Credit to BH and NST

No comments:

Post a Comment